Korporat

Program AEON Bank x SURI iTEKAD Sustainable . Reliable . Income (S.R.I.) Memperkasakan Belia dan Ibu B40 dengan Kemahiran Menjahit serta Peluang Jana Pendapatan

10 April 2026 | Kuala Lumpur

Program AEON Bank x SURI iTEKAD Sustainable . Reliable . Income (S.R.I.) Memperkasakan Belia dan Ibu B40 dengan Kemahiran Menjahit serta Peluang Jana Pendapatan

Berteraskan matlamat untuk meningkatkan keterangkuman kewangan dengan membekalkan golongan ibu, wanita dan belia komuniti berpendapatan rendah dengan kemahiran untuk menjana pendapatan mampan serta mencipta peluang ekonomi, AEON Bank, bank digital Islamik pertama Malaysia, telah berganding bahu dengan SURI Inspirasi Sdn Bhd (SURI) untuk membangunkan Program Sustainable. Reliable. Income (S.R.I.). Program tersebut sejajar dengan pembangunan program iTEKAD, inisiatif kewangan sosial oleh Bank Negara Malaysia.

 

AEON Bank x SURI iTEKAD S.R.I._1.jpg

 

SURI merupakan sebuah perusahaan sosial dengan misi untuk memperkasakan kaum wanita daripada komuniti berpendapatan rendah, khususnya golongan belia dan ibu yang bertekad untuk mengubah kehidupan mereka demi masa hadapan anak-anak, dengan usaha mempelajari kemahiran amali seperti menjahit yang mewujudkan peluang penjanaan pendapatan secara mampan. Program AEON Bank x SURI iTEKAD Sustainable. Reliable. Income (S.R.I.) telah dilancarkan pada bulan Mac 2026 dengan sasaran 60 peserta menerusi 3 kohort, di mana setiap kohort berlangsung selama enam bulan. Kohort tersebut ditaja sepenuhnya oleh AEON Bank dan dibangunkan bersama dengan SURI untuk memperkasakan peserta berusia 18 – 60 tahun dengan kemahiran, sokongan, peralatan dan akses kewangan yang diperlukan untuk membina kehidupan yang lebih terjamin. Program ini menyasarkan para peserta daripada latar belakang berpendapatan rendah dan berdepan cabaran kewangan, termasuk isi rumah berpendapatan tunggal, penganggur serta mereka dengan pendapatan yang tidak menentu.

 

AEON Bank x SURI iTEKAD S.R.I._2.jpg

 

Demi mewujudkan impak yang lebih besar, kesemua peserta kohort Program AEON Bank x SURI iTEKAD S.R.I. juga digalakkan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif MySURi Seragam. Menerusi usaha ini, mereka akan menjahit 1,000 pasang pakaian seragam sekolah untuk para pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, rumah anak yatim dan rumah kebajikan. Inisiatif ini memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan tambahan, sambil menyumbang kepada usaha murni yang memberi manfaat positif kepada golongan yang memerlukan.

 

Berteraskan kepakaran SURI dalam membimbing golongan belia serta ibu yang gigih membahagikan masa antara penjagaan anak dan menguruskan rumah tangga, para peserta akan menghadiri bengkel latihan menjahit dan pembangunan produk, termasuk teknik ikat celup Indigo Shibori, menggunakan bahan dikitar tinggi seperti fabrik denim dan cadar hotel yang tidak lagi digunakan. Selepas menamatkan bengkel jahitan, peserta akan dilengkapi dengan kemahiran untuk menghasilkan cenderahati premium yang lestari. Produk ini kemudiannya boleh dijual melalui platform SURI Lifestyle atau pesanan konsainan untuk perolehan sosial, dengan hasil jualan disalurkan terus kepada peserta. Langkah ini sekali gus mengukuhkan model kitaran yang dirangka untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan mencetus impak sosial. 

 

Nadi utama di sebalik komitmen tersebut ialah pengasas bersama SURI, gandingan hebat ibu dan anak, iaitu Sally @ Salena Ahmad dan Amer Asyraf. Sejak ditubuhkan pada tahun 2016 hingga kini, mereka telah mencurahkan masa, tenaga dan daya cipta untuk membangunkan SURI dengan melatih lebih 400 ibu dan wanita di pelbagai negeri. Pada masa yang sama, Sally dan Amer turut mengembangkan jenama SURI Lifestyle, yang menawarkan produk diperbuat daripada fabrik lebihan yang dikitar tinggi, terutamanya denim dan linen, yang akan dibuang jika tidak digunakan semula. Fabrik tersebut kemudiannya dijahit menjadi produk berkualiti premium oleh ibu-ibu SURI, dengan matlamat menggalakkan pilihan produk lebih lestari di kalangan para pelanggan. 

 

AEON Bank x SURI iTEKAD S.R.I._3.jpg

 

Di samping itu, demi memperkukuh kesediaan pasaran produk berkualiti premium yang dihasilkan oleh peserta dan membantu mereka meluaskan capaian pelanggan masing-masing secara digital, AEON Bank dan SURI berganding bahu dengan Zucchini & Co. untuk menyediakan modul pemasaran digital, termasuk kemahiran media sosial dan fotografi mudah alih. 

 

Setelah berjaya memenuhi latihan Program AEON Bank x SURI iTEKAD S.R.I., para peserta akan menerima sebuah mesin jahit mudah alih, justeru membolehkan mereka memanfaatkan kemahiran yang ditimba menerusi program, sekali gus lebih mampu menyara keluarga dan mula menjana pendapatan secara berdikari. 

 

Menyedari bahawa usaha memperkasakan insan bukan setakat memberikan kemahiran teknikal, AEON Bank juga menyediakan modul literasi kewangan untuk peserta Program S.R.I., termasuk inisiatif untuk memperkenalkan mereka kepada aplikasi perbankan digital AEON Bank, meningkatkan kesedaran tentang keselamatan siber dan pencegahan penipuan, sambil memberi panduan kepada mereka untuk memanfaatkan perisian kewangan yang mudah digunakan di dalam aplikasi seperti Savings PotNeko Sensei – iaitu pembimbing kewangan peribadi, serta ciri tambah nilai antaranya Takaful, Neko Missions dan mata ganjaran AEON.

 

Program AEON Bank x SURI iTEKAD S.R.I. merupakan edisi kedua inisiatif iTEKAD anjuran AEON Bank, susulan daripada program AEON Bank x MADCash iTEKAD 'GrowthStart' bagi edisi Februari 2025 - Februari 2027. Program GrowthStart telah disertai oleh 65 usahawan mikro wanita daripada golongan B40 di Kedah, Johor dan Negeri Sembilan.

 

Menerusi inisiatif iTEKAD seperti S.R.I. dan GrowthStart, AEON Bank teguh dalam komitmennya dalam menawarkan penyelesaian kewangan yang mudah diakses oleh rakyat Malaysia, sambil memperkasakan komuniti untuk mengejar aspirasi kewangan dan memperkukuhkan daya ketidakbersandaran ekonomi. AEON Bank akan terus berusaha memupuk masa hadapan kewangan yang lebih inklusif untuk rakyat Malaysia, serta memainkan peranan ke arah pembangunan perbankan Islamik di rantau ini, di samping memangkin pertumbuhan ekonomi digital negara. 

 

Untuk mengetahui lebih lanjut, layari laman web AEON Bank dan SURI dan imbas Kod QR untuk memuat turun aplikasi dan terokai pengalaman perbankan lebih dinamik dengan AEON Bank.

 

A qr code with a pink square

AI-generated content may be incorrect.

Share this article
/img/social-media/linkedIn-grey.png
/img/social-media/facebook-grey.png
/img/social-media/twitter-grey.png