Acara
Bakat Muda Seni Digital, Tampilkan Kreativiti Anda!
26 August 2025 | Kuala Lumpur


Sertai Pertandingan Seni Digital AI 2025: Aspirasi Perbankan Digital Saya, Merdeka dan Masa Hadapan.
Pertandingan dalam talian ini adalah percuma dan dianjurkan oleh AEON Bank dengan kerjasama Kementerian Pendidikan - Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, serta Balai Seni Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Pertandingan ini bertujuan mencetuskan daya kreativiti di kalangan para pelajar serta menginspirasi bakal pemimpin, inovator kecil dan bakat seni muda untuk menguasai kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik. Para peserta digalakkan mencipta karya seni digital asli menggunakan aplikasi AI, meneroka potensi teknologi baharu serta menguasai kemahiran digital yang semakin penting dalam era teknologi masa kini. Pertandingan ini juga menjadi wadah bagi para pelajar menzahirkan visi mereka terhadap masa depan fintech dan digital Malaysia melalui lensa kreativiti masing-masing.
Tempoh Pertandingan : 26 Ogos 2025 – 23 September 2025
Tarikh/Masa Tutup Penyertaan : 23 September 2025, pukul 11.59 malam
Kategori Penyertaan
Terbuka kepada pelajar berusia 7 – 17 tahun dengan MyKad atau MyKid yang sah. Peserta perlu memilih salah satu daripada lima kategori berikut:
- Neko Comel : 7 – 9 tahun
- Neko Kecil : 10 – 12 tahun
- Neko Juara : 13 – 15 tahun
- Neko Wira : 16 – 17 tahun
- Neko Kucing : Kategori khas untuk anak-anak kakitangan AEON Bank
Hadiah & Pemilihan Pemenang
Sempena sambutan kemerdekaan yang ke-68 tahun, 68 pemenang akan dipilih ; Neko Comel : 12 pemenang, Neko Kecil : 12 pemenang, Neko Juara : 20 pemenang, Neko Wira : 20 pemenang, dan Neko Kucing : 4 pemenang. Di samping itu, 300 penyertaan pertama yang sah juga layak menerima hadiah penyertaan.
Karya digital para pemenang akan dipamerkan di Balai Seni Negara semasa majlis penyampaian hadiah pada Oktober 2025.
Kriteria Penilaian
Semua karya seni yang dihantar akan dinilai berdasarkan kriteria berikut:
- 50% – kaitan dengan tema
- 50% – kreativiti, keunikan dan keaslian karya
- Nota : Karya penyertaan mestilah asli. Para peserta tidak dibenarkan menciplak karya seni yang sedia ada dan tidak boleh meniru gaya kreatif mana-mana artis atau studio animasi.
Cara Hantar Penyertaan
Klik Super Neko di atas untuk menghantar penyertaan anda. Butiran yang diperlukan:
- Karya seni AI
- Teks gesaan (prompt) yang digunakan
- Tangkapan skrin sebagai bukti bahawa gesaan (prompt) tersebut menghasilkan karya yang dihantar
- Nama penuh pelajar
- Nombor MyKad/MyKid
- Nama ibu bapa/penjaga
- Nama sekolah
Nota: Hanya satu penyertaan dibenarkan untuk setiap nombor MyKad/MyKid.
Klik pada pautan ini untuk baca Terma dan Syarat.