ASAS FALSAFAH AEON

Mengekalkan keamanan, menghormati individu dan menyumbang kepada komuniti tempatan, sentiasa bersama pelanggan yang menjadi asas permulaan kami.

AEON percaya bahawa sektor peruncitan adalah industri untuk mempromosikan keamanan, kemanusiaan dan komuniti tempatan. Untuk terus menjadi kumpulan korporat yang berkembang maju yang memenuhi misi ini, kami komited untuk terus berinovasi dengan pelanggan yang menjadi asas permulaan kami. Keamanan tidak boleh dicapai tanpa kesedaran dan penglibatan aktif tidak kira sama ada dalam proses pemulihan daripada perang dan bencana, atau dalam mempertahankan dan mempromosikan kedamaian dalam kehidupan. Keyakinan kami bersandarkan pada pengalaman hidup sebenar Takuya Okada, Pengerusi Kehormat dan Penasihat Utama kepada Presiden. Selepas Perang Dunia Kedua, Okada menyaksikan seorang pelanggan sedang beratur di sebuah kedai dengan memegang risalah yang tertulis 'Perang sudah benar-benar berakhir,' sambil menangis kegembiraan. Dan pada saat itu, beliau menyedari bahawa kewujudan peruncitan adalah lambang keamanan. Beliau sedar bahawa keamanan adalah prasyarat bagi kewujudan peruncitan dan atas sebab itu, peruncitan perlu memainkan peranan dalam mengekalkan keamanan. Keamanan bukan sekadar hidup tanpa peperangan dan keganasan. Ia meliputi ketenangan jiwa dan ketabahan dalam menghadapi peperangan, bencana dan kesusahan lain. Meskipun dalam abad ke-21, kita terus menyaksikan peperangan dan berdepan bencana alam seperti gempa bumi dan fenomena cuaca ekstrem yang lebih kerap berbanding sebelumnya. Ini menuntut kami untuk menilai semula nilai keamanan hari ini. Keamanan tidak boleh dikecapi tanpa usaha. Ia boleh dipertahankan melalui penglibatan aktif dan kesedaran kita semua. AEON tidak akan pernah melakukan apa-apa perkara yang bertentangan dengan keamanan. AEON tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang tindakan atau aktiviti sedemikian. Matlamat kami adalah untuk memberi sumbangan positif kepada keamanan. Bagi manusia pula, dengan mempercayai dan menghormati antara satu sama lain, kebolehan dan aspirasi individu akan terus berkembang. Manakala, dengan berhubungan sesama manusia pula menjadikan kehidupan individu lebih bahagia. Presiden Kehormat Okada menyatakan bahawa sektor peruncitan sebagai 'industri bersifat kemanusiaan'. Ini bermaksud, menghormati 'cara manusia' dengan menghormati identiti, martabat dan autonomi tersendiri setiap individu. Ia juga dalam erti kata lain percaya pada potensi mereka dan mendorong mereka untuk terus maju dan menjadi manusia yang lebih baik melalui kerja dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, sukar bagi manusia untuk berkembang maju sendirian. Justeru, melalui 'hubungan manusia' inilah kita dapat bersama-sama menjadi manusia yang lebih baik. Ini adalah penghayatan kebahagiaan dan pencarian norma dalam kalangan manusia. Ringkasnya, sektor peruncitan adalah industri kebahagiaan dan norma manusia. Untuk memperkasakan komuniti tempatan, kami perlu menghormati kepelbagaian dan kemerdekaan setiap kawasan, dan sentiasa memenuhi dan mengambil berat terhadap keperluan khusus mereka. Sektor peruncitan adalah industri berasaskan kawasan dan tidak akan berjaya tanpa sokongan komuniti tempatan. Untuk mengekalkan kemakmuran dan kesejahteraan kawasan serta komuniti tempatan di dalamnya, penting untuk kami memberi perhatian secara berterusan. Ini merupakan salah satu peranan penting sektor peruncitan. Memandangkan kawasan dan komuniti tempatan akan menjadi semakin penting pada masa depan, AEON akan secara aktif menyumbang kepada kemakmuran mereka dengan membangunkan produk yang sesuai mengikut kawasan, dan bersama-sama mempromosikan kesejahteraan penduduk tempatan. AEON komited untuk terlibat secara aktif dalam usaha keamanan, menyokong kebahagiaan dan norma manusia serta menyumbang kepada kemakmuran komuniti tempatan. Prinsip ini membentuk falsafah 'pelanggan sebagai asas permulaan kami' dengan mengutamakan keperluan dan pilihan pelanggan sebagai fokus utama operasi kami. Mengutamakan pelanggan bermaksud kami mendahulukan kepentingan pelanggan, dan kami tidak berfikir atau bertindak semata-mata untuk kepentingan kami sendiri. Tetapi sebaliknya, kami sentiasa meletakkan pelanggan sebagai keutamaan dan bertindak dengan standard integriti tertinggi yang merupakan asas kepada AEON. Ia mencerminkan prestasi kami sendiri dan menjadi asas untuk setiap keputusan dan tindakan yang diambil oleh semua pekerja AEON. Meskipun akan ada situasi yang mendorong kami untuk mendahulukan kepentingan syarikat atau peribadi kami, namun kami komited menolak dan mengatasi godaan tersebut sebagai tanda dedikasi kami kepada pelanggan. Untuk mencapai matlamat ini, AEON harus menjadi kumpulan korporat yang terus berinovasi. Memastikan kewujudan dan pertumbuhan syarikat adalah sangat penting, namun tanpa inovasi yang berterusan ia akan merosot dan akhirnya lenyap. Walaupun keputusan untuk mengekalkan status quo menjadikan syarikat lebih stabil dan selesa, syarikat tidak sepatutnya terlalu cepat berpuas hati tetapi perlu sentiasa melakukan perubahan dan menambah baik perkhidmatan. Berpandangan jauh dan sentiasa peka dengan perubahan pelanggan dan pelbagai perubahan sosial adalah penting untuk kami terus berinovasi. Semua Pekerja AEON sentiasa bekerja keras demi menjangkakan evolusi dan perubahan gaya hidup pelanggan serta keperluan masyarakat. AEON telah melalui transformasi daripada perniagaan keluarga kepada sebuah syarikat, kemudian menjadi sebuah industri. Ia sentiasa mengekalkan budaya korporat yang dinamik. Meskipun begitu, dengan perubahan pantas yang berlaku dalam masyarakat, kami khuatir semangat inovasi dan keusahawanan semakin menghilang dan tidak berkembang seperti kebanyakan syarikat besar lain. Kami percaya bahawa keseimbangan statik, iaitu pengekalan status quo yang berterusan tanpa sebarang perubahan tidak akan bertahan lama. Satu-satunya cara untuk mengelakkan daripada disaingi oleh syarikat inovator baharu adalah dengan terus menjadi syarikat inovator yang terbesar dan termaju. Ini adalah tekad kami untuk menjadi sebuah organisasi yang sentiasa berevolusi dengan mengekalkan semangat penubuhannya dan sentiasa terkedepan. AEON akan bertindak dengan keyakinan penuh bahawa dengan mewujudkan dan mengamalkan prinsip-prinsip ini, kita boleh menyumbang kepada pemeliharaan dan pembangunan keamanan, kemanusiaan dan komuniti tempatan.